BN tampil dengan formula pengagihan kerusi membabitkan Bersatu, PAS – Annuar Musa

BN tampil dengan formula pengagihan kerusi membabitkan Bersatu, PAS – Annuar Musa

  • Post author:

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Barisan Nasional (BN) telah tampil dengan formula bagi menyelesaikan isu berkaitan pengagihan kerusi pilihan raya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Setiausaha Agungnya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata formula itu hendaklah digabungkan antara parti tunjang BN iaitu UMNO dan kedua-dua parti bagi mengelak pertikaian.

“Kita mempunyai formula untuk dipertimbang. Bersatu dan PAS telah membincangkannya di peringkat parti masing-masing.  UMNO turut membincangkannya secara dalaman.

“Saya telah diberikan tempoh selama dua minggu untuk menyelesaikannya di peringkat BN kerana kami adalah satu gabungan. Selepas dua minggu, kami (BN) akan duduk terlebih dahulu dengan PAS kemudian Bersatu (bagi membincangkan formula itu),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelantikan ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa lima anggota membabitkan ketiga-tiga parti bagi menyelesaikan isu berkaitan kerusi.

“Adalah lebih baik jika kita tidak membincangkan perkara ini secara terbuka kerana ia merupakan isu dalaman yang memerlukan perbincangan antara parti,” katanya sambil menambah bahawa Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyediakan garis panduan untuk rundingan membabitkan pengagihan kerusi.

Sementara itu, beliau berkata permintaan agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu, menyertai semula UMNO telah dibincangkan dalam kalangan parti komponen BN namun tidak ada keputusan dicapai.

“Ia bukanlah satu perkara yang telah disembunyikan. Buat masa ini, kami mempunyai satu konsensus iaitu memberi sokongan yang padu kepada perdana menteri,” katanya sambil menegaskan bahawa apa yang penting ketika ini ialah kekerapan rundingan dalam kalangan parti PN selain memberikan sokongan penuh kepada Muhyiddin bagi membina sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Muhyiddin kembali menyertai UMNO dan mengambil alih jawatan sebagai presiden parti itu serta menggesa ahli UMNO agar menerima Ahli Parlimen Pagoh itu semula dengan tangan terbuka demi kepentingan perpaduan orang Melayu.

Muhyiddin, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, telah dipecat daripada parti itu pada Jun 2016. 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Presiden UMNO ketika itu.     

— BERNAMA