10 Tips Tipu Bini hiburan semata-mata

10 Tips Tipu Bini hiburan semata-mata

  • Post author:

Tampil dengan buah tangan pertama filem komedi bertajuk 10 Tips Tipu Bini, Datuk Awie berharap karya yang dihasilkan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Awie yang juga penerbit filem berkenaan berkata, apa yang dipaparkan sekadar hiburan namun ia memberi banyak nasihat kepada pasangan yang sudah berkahwin.

“Ini adalah kisah komedi ringan dan jalan ceritanya saya hasilkan melalui pengalaman kawan-kawan dan diri saya sendiri.

“Tidak dinafikan apa yang dipaparkan memang berlaku dalam kehidupan kita seharian,” katanya.

Selain Datuk Awie, filem yang diarahkan oleh Azizi ‘Chunk’ Adnan itu turut menampilkan pelakon seperti Ropie, Khir Rahman, Joey Daud, Vicha, Nazia Mustafar, Elizabeth Tan, Jehan Miskin dan ramai lagi.

Ia mengisahkan tentang tiga sahabat baik yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di sebuah syarikat pengiklanan yang terkenal di Kuala Lumpur.

Mereka adalah pekerja yang berdedikasi apabila ditempat kerja tetapi bertukar karakter ketika dirumah. Masing-masing terlalu takutkan isteri.

Namun begitu, segalanya berubah selepas mereka bertemu tiga gadis muda yang bekerja di tempat sama mereka bekerja.

Pelbagai penipuan mula diatur supaya tidak diketahui oleh isteri masing-masing.

Apakah yang berlaku seterusnya? Saksikan filem 10 Tips Tipu Bini di saluran Astro First (480) bermula hari ini.