MK duta PTTI yang baru

MK duta PTTI yang baru

  • Post author:

Selepas Mira Filzah, penyanyi rap sensasi kumpulan K- Clique,  MK, 24, pula dipilih memikul tanggungjawab  sebagai duta pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI Group Sdn Bhd sejak awal Januari lalu.

Berkongsi perkara berkenaan, penyanyi dari Sabah itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mula menduduki peperiksaan berkenaan sejak 22 Februari baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Muhammad Hairi Amin itu percaya tanggungjawab yang digalasnya datang dengan amanah yang murni serta besar.

“Sejujurnya saya mengambil masa berfikir untuk bersetuju menjadi duta pusat akademik berkenaan.

“Saya ‘dirisik’ pihak mereka sekitar Oktober tahun lalu.  Ketika itu saya sudah mula diundang pihak berkenaan sebagai panel jemputan bersama teman artis lain.

“Waktu itu fungsi dan peranan saya lebih kepada memberi semangat dan mendorong calon SPM 2020 yang berdepan pengalaman dan cabaran berbeza di era pandemik COVID-19 ini,” katanya.

MK berkata, perjanjian dimeterai bersama pusat akademi itu hujung tahun lalu dan dia menjadi duta selama setahun.

“Dalam hati saya terdetik juga kenapa PTTI berkenan menyunting saya sebagai duta. Saya percaya ada calon lain yang lebih baik berbanding diri sendiri.

“Namun rezeki itu tak pernah salah alamat. Oleh itu, amanah yang digalas ini akan saya lakukan sebaik mungkin.

“Mungkin juga saya ada pencapaian dan sedikit pengaruh yang boleh mendekatkan PTTI dengan generasi masa kini iaitu pelajar SPM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra dengan nama Cikgu Fana berkata, pemilihan MK seiring dengan aura, personaliti dan pengaruh yang dimilikinya.

“Sebagai pusat akademik yang khusus kepada pelajar SPM, kami optimis kehadiran MK boleh terus mendekatkan kami dengan golongan sasaran.

“Kita sedar, pesonanya dalam kumpulan K-Clique cukup hebat dan berpengaruh. Apa saja yang dikongsinya mendapat perhatian ramai.

“MK ada sesuatu yang boleh digunakan untuk manfaat, tujuan dan contoh positif terutama di saat isu pendidikan kini berdepan cabaran getir,” katanya.

PTTI yang ditubuhkan sekitar tahun 2016 sudah berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pelajar lulusan SPM dengan keputusan cemerlang hingga tahun lalu.

PTTI kini memiliki 25 tenaga pengajar, yang mengajar menerusi formula dan teknik berkesan membimbing pelajar menghadapi SPM.

Tamat/