Tahun bertuah Safawi

Tahun bertuah Safawi

  • Post author:

Kuala Lumpur: Musim 2020 nyata tahun bertuah buat bintang bola sepak negara, Safawi Rasid apabila dia tersenarai antara calon anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020 yang dikelolakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Safawi yang bakal menginjak usia 24 tahun pada tanggal 5 Mac depan terdahulu meraih pelbagai pengiktirafan sama ada secara berpasukan mahupun individu.

Bagaimanapun, pencalonan sebagai Pemain Muda Terbaik Asia dianggap cukup berprestij apabila ia acara kemuncak bagi mengiktiraf pemain benua ini selepas setahun beraksi.

Menerusi pengumuman AFC, 19 pemain tercalon dan antara nama besar yang bakal memberi saingan kepada Safawi adalah pemain Real Madrid dari Jepun, Takefusa Kubo.

Selain itu penyerang muda Korea Selatan, Lee Kang-in yang kini bermain dengan Valencia di Sepanyol serta pemain pertahanan Bologna, Takehiro Tomiyasu.

Walaupun mungkin peluang memenanginya sukar, kejayaan tersenarai dalam anugerah tertinggi di Asia itu harus dipuji dan dibanggakan.

Untuk rekod, sepanjang musim lalu Safawi membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi gelaran Liga Super untuk kali ketujuh berturut-turut selain dapat beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC.

Malah, baru-baru ini juga menyaksikan dia dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 Virtual selain turut dicalonkan dalam 24 pemain untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Asia Fox Sports Asia bagi musim lalu.

Dalam anugerah itu, pemain sayap dengan bisa kaki kiri itu bakal berentap dengan tonggak Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung Min yang dilabel pilihan utama untuk menggondol gelaran itu.

Tidak terhenti di situ, pada September lalu, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mengharumkan nama Malaysia apabila meraih Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara (ACL) AFC selepas menghasilkan jaringan cantik menerusi sepakan lencong ketika menentang kelab China, Shandong Luneng dalam aksi ACL 2019.- Harian Metro