MCCA harap kerajaan ketatkan keselamatan siber negara

MCCA harap kerajaan ketatkan keselamatan siber negara

  • Post author:

Persatuan Pengguna Siber Malaysia atau Malaysia Cyber Consumer Association (MCCA) memandang serius isu ugutan yang dikeluarkan oleh ‘Anonymous Malaysia’ melalui video berdurasi 2 minit 29 saat bertajuk #OpsWakeUp21.

Ketua Keselamatan Siber MCCA, Mohamad Zulfahmy Roslan berkata, hasil permerhatian MCCA, ini adalah serangan ugutan ketiga yang bakal dilancarkan oleh ‘Anonymous Malaysia’ terhadap infrastruktur ICT negara sejak tahun 2011.

“ Berdasarkan kajian daripada serangan yang lalu, kami mendapati kebanyakan serangan yang dilakukan kumpulan ini menggunakan teknik defacement dan DDOS.

“Kami berpendapat bahawa tahap keselamatan siber di peringkat nasional kini masih menjadi tanda tanya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohamad Zulfahmy berkata, walaupun pelbagai usaha dan dana sudah dibelanjakan oleh kerajaan, keselamatan siber dilihat masih di peringkat sederhana dan mudah ditembusi.

“Sebagai contoh, hal ini terbukti dengan serangan penggodam Indonesia baru-baru ini membabitkan beberapa laman sesawang milik kerajaan Malaysia berjaya digodam.

“MCCA menasihatkan semua pihak pentadbir sistem dan laman sesawang kerajaan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memperketatkan keselamatan siber dan infrastuktur ICT di bawah tanggungjawab mereka.

“Pentadbir sistem juga perlu membuka mata dan sentiasa peka dengan perubahan lanskap siber yang dinamik supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan seiring dengan perubahan semasa,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu mengkaji semula keberkesanan usaha yang dilaksanakan dengan memastikan dana dan perbelanjaan yang diperuntukan seimbang serta memberi pulangan kepada keselamatan siber negara.

“MCCA juga berharap kerajaan Malaysia melalui agensi yang bertanggungjawab seperti NACSA memandang serius perkara ini dengan memastikan tahap kesediaan bagi menghadapi serangan seumpama ini dipertingkatkan.

“Sekali gus tidak memberi peluang kepada mereka yang berkepentingan mengambil peluang dengan kelemahan yang ada,” katanya.