Sistem siber kerajaan lemah, Anonymous Malaysia beri amaran!

Sistem siber kerajaan lemah, Anonymous Malaysia beri amaran!

  • Post author:

Kumpulan penggodam Anonymous Malaysia mengeluarkan mesej berbentuk amaran bahawa mereka akan melancarkan serangan siber terhadap laman web kerajaan dalam masa terdekat ini menerusi kempen #OpsWakeUp21.

Mesej yang disampaikan menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook itu mengingatkan pihak berwajib supaya bersedia berdepan kemungkinan yang berlaku.

Pengendali akaun berkenaan berkata, tindakan itu sebagai ‘pengajaran’ berikutan kelemahan sistem keselamatan dalam talian negara ini sehingga menyebabkan maklumat peribadi pengguna terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Hello Malaysia. Ini adalah amaran kepada kerajaan Malaysia. Sudah tiba masa anda membuka mata selepas lama kami berdiam diri. Bersedialah. Kami tidak memaafkan, kami tidak lupa, nantikan kami,” katanya.

Jenayah siber membabitkan penggodaman sistem dalam talian di negara ini bukan sesuatu yang baharu.

Sebelum ini, berlaku pelbagai kes penggodaman terhadap sistem dalam talian dan laman web agensi kerajaan termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun lalu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang mengakui terdapat usaha berterusan pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa cuba menggodam maklumat Kementerian Keselamatan Pertahanan dan ATM.

Terdahulu, Anonymous Malaysia mendakwa kelemahan sistem dalam talian negara ini menyebabkan lebih 46 juta data peribadi pengguna terdedah kepada pelbagai sindiket.

Ia berikutan kecuaian dan tidak peka kepada persekitaran teknologi sehingga membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab melakukan jenayah siber.

“Sistem keselamatan anda lemah, semua data mungkin sudah terdedah. Ini menyebabkan penggodam boleh menjual maklumat.

“Banyak kes mendapati data syarikat telekomunikasi sudah terdedah lebih 46 juta dan ini menyebabkan berlaku kegiatan jenayah scam,” katanya lagi.